Tuesday, November 17, 2009

Lembah dipenuhi ular gemuk menanti jika lewatkan solat

DALAM mengerjakan solat setiap hari, Islam turut menggariskan beberapa waktu yang perlu dilaksanakan supaya amalan dilaksanakan dengan sempurna mengikut waktu ditetapkan.

Pelaksanaan amalan yang mengikut tuntutan dan aturannya itu bagi melengkapkan amalan dan mudah-mudahan diberkati serta menerima ganjarannya.

Waktu solat secara keseluruhannya terbahagi kepada:
  • Waktu fadilat iaitu waktu paling afdal ketika kita melakukan amalan solat berkenaan.

    Waktu paling afdal adalah pada awal waktu sebaik selepas azan berkumandang.

  • Waktu ikhtiar iaitu selepas waktu fadilat hingga sekira-kira boleh menghabiskan solat dengan sempurna dalam waktunya.

  • Waktu harus (jawaz) iaitu sama seperti waktu ikhtiar. Hukumnya sama seperti hukum waktu ikhtiar melainkan:

    a. Pada waktu Asar, berkekalan hingga kuning matahari.

    b. Pada waktu Isyak, berkekalan hingga fajar sadiq.

    c. Pada waktu Subuh, sehingga merah di tepi langit.

  • Waktu hurmah iaitu akhir waktu yang mencemaskan sekira-kira tidak sempat untuk kita menyempurnakan solat itu dalam waktunya.

  • Waktu darurat iaitu bagi orang yang baru hilang daripada perkara yang menegah solat seperti haid, nifas, gila dan seumpamanya yang ketika itu kadar waktu solat yang ada hanya sekadar sempat mengangkat takbiratul ihram.

    Oleh itu, wajib diqada pada waktu selepasnya.

  • Waktu idrak iaitu waktu antara awal waktu dengan datang halangan untuk solat seperti datang haid, bersalin dan sebagainya. Jika dalam jangka masa itu, seseorang sepatutnya sempat melakukan solat tetapi dia tidak melakukannya, maka solat yang ditinggalkan itu wajib diganti.

  • Waktu harus (jawaz), tetapi makruh.

    a. Waktu Asar: bermula dari kuning matahari hingga berkekalan sampai waktu akhir kadar lulus solat.

    b. Isyak: bermula dari fajar kazib hingga ke waktu akhir kadar lulus solat.

    c. Subuh: bermula dari merah tepi langit hingga ke waktu kadar lulus solat.

    d. Waktu uzur iaitu waktu antara Zuhur dengan Asar (antara hujun waktu Zuhur dan awal waktu Asar) atau Maghrib dengan Isyak, jamak taqdim atau takhir bagi orang yang musafir.

  • Waktu tahrim (waktu yang diharamkan solat).

    a. Sesudah solat Subuh hingga matahari terbit (kecuali bagi mereka yang berada di Tanah Haram)

    b. Sesudah solat Asar (kecuali di Tanah Haram)

    c. Sewaktu matahari tepat di tengah hingga tergelincir sedikit (kecuali Jumaat).

    d. Ketika terbenam matahari hingga sempurna terbenamnya (kecuali di Tanah Haram)

    e. Waktu matahari tengah naik hingga sekadar sepenggalahan.

    Oleh itu, solat lima waktu yang diwajibkan ke atas semua umat Islam perlu dilakukan mengikut waktu dan masa yang afdal.

    Setiap waktu yang ditetapkan itu mempunyai tempoh masa yang tertentu. Apabila amalan wajib itu dilakukan mengikut masa dan tertib, pastinya Allah akan memberi ganjarannya.

    Ingatlah azab bagi orang yang melengah-lengahkan sembahyang. Begitu juga, orang yang suka solat terutama pada akhir waktu menunjukkan mereka seolah-olah tidak bersungguh-sungguh dalam menunaikan tanggungjawab kepada Allah.

    Banyak keburukan yang akan menimpa orang yang sengaja melewat-lewatkan solat, antaranya:-

  • Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Seseorang yang melengah-lengahkan solatnya (walaupun dia mengqadanya kelak) akan dimasukkan ke dalam neraka selama satu `uqub (80 tahun akhirat)".

  • Mendapat kepapaan di akhirat.

    Ibnu Abbas menceritakan bahawa Rasulullah pernah menjelaskan ketika ditanya mengenai orang yang papa. Sabda Baginda bermaksud: "Seorang yang papa itu ialah mereka yang melengah-lengahkan solatnya."

  • Allah tidak peduli padanya, bahkan untuknya adalah azab yang pedih.

    Orang yang melengah-lengahkan solatnya, tangannya akan diikat sementara malaikat akan memukul muka dan belakangnya.

    Syurga akan berkata padanya: "Di sini tidak ada tempat bagimu. "Dan neraka akan berkata padanya: "Mari, mari padaku! Kamu untukku dan aku untukmu."

    Nanti mereka akan diseksa dalam neraka di Lembah Lamlan yang didiami oleh ular bisa segemuk leher unta dan panjangnya sebulan perjalanan. Juga akan diseksa di neraka dalam lubang derita yang didiami kala jengking yang sebesar keldai/baghal.